Thursday, December 29, 2011

MAI CHEK MAI di Harian Metro

 

Mai Chek Mai luar ibu kota

Oleh Hellinie Sina
hellinie@hmetro.com.my
PERMINTAAN penonton yang inginkan program televisyen lebih banyak menyajikan cerita komedi menyebabkan semakin banyak rancangan yang digarap berkisarkan lawak jenaka.
Sudah merakamkan 13 episod untuk musim pertama, penggambaran musim kedua bakal dijalankan tahun depan kerana sambutan yang membanggakan daripada peminat komedi.

Produksi siri komedi Mai Chek Mai bakal ditayangkan menerusi saluran TV1 bermula 4 Januari ini juga dirakamkan di hadapan penonton bagi memberikan peluang kepada peminat komedi merasai sendiri menonton sitkom di hadapan mereka.

Sitkom Mai Chek Mai hasil garapan penuh Asri Alias turut mengajak beberapa artis terkenal sebagai jemputan untuk menceriakan lagi naskhah arahannya.


“Sepanjang 13 episod kami merakamkan sitkom itu di hadapan penonton. Apa yang menariknya, rakaman itu diadakan di Kedah bagi memberikan mereka merasai sendiri perbezaan menonton sitkom itu di kaca televisyen dan di depan mata.

“Kami mengambil pendekatan seperti itu kerana kami memahami ramai orang yang berada jauh dari Kuala Lumpur ingin berada dalam suasana sedemikian, namun tidak berpeluang. Sebab itulah, kami membuat satu konsep baru mendekatkan penonton dengan artis.

“Sekiranya negeri lain juga meminta kami untuk merakamkan sitkom ini
di tempat mereka, kami akan berusaha untuk memenuhi permintaan itu kerana penontonlah yang akan menjadi penyokong kami.

“Tambahan pula, kelebihan merakamkan sitkom ini di hadapan penonton adalah pelakon akan lebih bersemangat ketika melakonkan watak mereka apatah lagi sekiranya penonton ketawa setiap kali mereka membuat lawak.

“Saya percaya, gabungan pelawak lama dan pelakon baru yang dicungkil bakat mereka mampu menimbulkan rasa geli hati di kalangan penonton kerana keistimewaan sitkom ini adalah pada penggunaan loghat yang berlainan,” katanya ketika majlis pelancaran sitkom Mai Chek Mai di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, baru-baru ini.

Mempertaruhkan pelakon berpengalaman seperti Ebby Yus, Ilya Buang, Khatijah Tan dan Ramasundram, barisan pelakon senior itu juga turut dibantu bakat baru seperti Wan Suhairi, Mira Amnas, Livonia Ricky dan Zarina Mohd Nor yang pastinya mencuit hati penonton.

Menyuntik elemen 1Malaysia, pelbagai loghat dari serata tanah air digunakan kerana penggunaan loghat itu mempunyai nilai komedi yang tersendiri dan menjadikan sitkom ini sesuai ditonton oleh pelbagai pengguna bahasa.

Kepelbagaian itulah yang memaniskan jalan cerita sitkom yang membincangkan isu semasa ini. Asri turut menggalakkan pelakon lakonan mereka dan memberi kelonggaran pada skrip yang disediakan.

Mementingkan keselesaan pelakon membawakan watak mereka, masing-masing diminta bercakap menggunakan loghat sendiri agar tidak menimbulkan rasa kekok sekiranya diminta memegang watak yang bertutur menggunakan loghat negeri lain.

Petikan dari Sumber: Harian Metro Online Jumaat Disember 30, 2011

No comments:

Post a Comment