Monday, January 2, 2012

MAI CHEK MAI di Utusan Malaysia

Mai Chek Mai sitkom baru RTM


Antara artis yang terlibat dengan siri sitkom terbaru RTM, Mai Chek Mai.




Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah antara saluran yang aktif menghasilkan siri-siri sitkom antaranya Salam Pantai Timur, Kopi O, Bahasa Biar Betul dan yang terbaru, Mai Chek Mai.
Mai Chek Mai merupakan siri sitkom terbaru terbitan RTM yang akan memaparkan isu-isu semasa yang releven dengan kehidupan masyarakat dan diselitkan nilai-nilai moral dalam berjenaka.
Sitkom yang akan bersiaran selama 13 episod ini mengisahkan kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan di Kedah di mana terdapat sebuah inap desa yang bernama Mai Chek Mai.
Sitkom ini membariskan beberapa pelakon yang sememangnya sudah diketahui bakat mereka dalam dunia komedi antaranya Ebby Yus, Ilya Buang, Khatijah Tan dan Ramasundram.
Selain itu juga, sitkom ini turut menampilkan bakat-bakat baru dunia lakonan seperti Wan Suhari Wan Senu, Mira Amnas, Livonia Ricky dan juga Zarina Mohd Nor.
Pengarah dan juga penulis skrip, Asri Alias berkata kelainan yang ditampilkan melalui sitkom ini adalah selain gabungan beberapa artis lama dan juga artsi baru, perbezaan dialek yang dituturkan oleh pelakon juga berbeza.
"Melalui sitkom ini, penonton akan dapat melihat gabungan pelakon lama seperti Ebby Yus dan Khatijah Tan bersama dengan beberapa artis baru yang bakatnya dicungkil melalui program realiti seperti Pilih Kasih.
"Sebagai contoh, Ebby Yus bertutur dengan loghat Negeri Sembilan, Wan Suhairi dengan loghat Siam Kedah manakala Ilya Buang dengan loghat Perak.
"Di sini, kita dapat melihat kepelbagaian budaya dan bahasa yang masyarakat Malaysia miliki dan ini adalah antara keunikan yang ingin kami tonjolkan melalui sitkom ini," katanya yang ditemui semasa majlis pelancaran sitkom tersebut, baru-baru ini.
Sitkom ini juga mencipta suatu kelainan yang tersendiri apabila keseluruhan rakamannya dilakukan di Taman Budaya, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah.
Asri menambah rakaman yang dilakukan diluar kawasan lembah Klang adalah suatu konsep baru yang seharusnya diikuti oleh produksi lain.
"Apabila kita membuat rakaman di luar Kuala Lumpur, kita dapat membawa barisan pelakon tersebut lebih dekat dengan masyarakat.
"Penonton yang hadir bukan sahaja dapat berhibur dengan menonton komedi yang ditampilkan tetapi mereka juga dapat beramah mesra dengan pelakon yang terlibat," jelasnya lanjut.
Selain barisan artis tetap yang terlibat menjayakan sitkom ini, penonton juga akan dapat menyaksikan artis undangan yang membuat penampilan khas antaranya Irma Hasmie, Siti Fazurina dan Fadhil Dani.
Sitkom ini akan menemui penonton bermula pada 4 Januari, setiap Rabu pada pukul 9 malam di saluran TV1.


Petikan dari Sumber: Utusan Malaysia Online Selasa Januari 03, 2012

Thursday, December 29, 2011

MAI CHEK MAI di Harian Metro

 

Mai Chek Mai luar ibu kota

Oleh Hellinie Sina
hellinie@hmetro.com.my
PERMINTAAN penonton yang inginkan program televisyen lebih banyak menyajikan cerita komedi menyebabkan semakin banyak rancangan yang digarap berkisarkan lawak jenaka.
Sudah merakamkan 13 episod untuk musim pertama, penggambaran musim kedua bakal dijalankan tahun depan kerana sambutan yang membanggakan daripada peminat komedi.

Produksi siri komedi Mai Chek Mai bakal ditayangkan menerusi saluran TV1 bermula 4 Januari ini juga dirakamkan di hadapan penonton bagi memberikan peluang kepada peminat komedi merasai sendiri menonton sitkom di hadapan mereka.

Sitkom Mai Chek Mai hasil garapan penuh Asri Alias turut mengajak beberapa artis terkenal sebagai jemputan untuk menceriakan lagi naskhah arahannya.


“Sepanjang 13 episod kami merakamkan sitkom itu di hadapan penonton. Apa yang menariknya, rakaman itu diadakan di Kedah bagi memberikan mereka merasai sendiri perbezaan menonton sitkom itu di kaca televisyen dan di depan mata.

“Kami mengambil pendekatan seperti itu kerana kami memahami ramai orang yang berada jauh dari Kuala Lumpur ingin berada dalam suasana sedemikian, namun tidak berpeluang. Sebab itulah, kami membuat satu konsep baru mendekatkan penonton dengan artis.

“Sekiranya negeri lain juga meminta kami untuk merakamkan sitkom ini
di tempat mereka, kami akan berusaha untuk memenuhi permintaan itu kerana penontonlah yang akan menjadi penyokong kami.

“Tambahan pula, kelebihan merakamkan sitkom ini di hadapan penonton adalah pelakon akan lebih bersemangat ketika melakonkan watak mereka apatah lagi sekiranya penonton ketawa setiap kali mereka membuat lawak.

“Saya percaya, gabungan pelawak lama dan pelakon baru yang dicungkil bakat mereka mampu menimbulkan rasa geli hati di kalangan penonton kerana keistimewaan sitkom ini adalah pada penggunaan loghat yang berlainan,” katanya ketika majlis pelancaran sitkom Mai Chek Mai di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, baru-baru ini.

Mempertaruhkan pelakon berpengalaman seperti Ebby Yus, Ilya Buang, Khatijah Tan dan Ramasundram, barisan pelakon senior itu juga turut dibantu bakat baru seperti Wan Suhairi, Mira Amnas, Livonia Ricky dan Zarina Mohd Nor yang pastinya mencuit hati penonton.

Menyuntik elemen 1Malaysia, pelbagai loghat dari serata tanah air digunakan kerana penggunaan loghat itu mempunyai nilai komedi yang tersendiri dan menjadikan sitkom ini sesuai ditonton oleh pelbagai pengguna bahasa.

Kepelbagaian itulah yang memaniskan jalan cerita sitkom yang membincangkan isu semasa ini. Asri turut menggalakkan pelakon lakonan mereka dan memberi kelonggaran pada skrip yang disediakan.

Mementingkan keselesaan pelakon membawakan watak mereka, masing-masing diminta bercakap menggunakan loghat sendiri agar tidak menimbulkan rasa kekok sekiranya diminta memegang watak yang bertutur menggunakan loghat negeri lain.

Petikan dari Sumber: Harian Metro Online Jumaat Disember 30, 2011

Saturday, December 24, 2011

MAI CHEK MAI di MStar Online





PETALING JAYA: Sitkom terbaru terbitan RTM iaitu Mai Chek Mai bakal menggabungkan ramai pelakon lama dan baru.
Pengarah sitkom tersebut, Asri Alias berkata, perkara itu dilakukan bagi memberi ruang kepada pelapis baru untuk menimba pengalaman daripada pelakon lebih senior bergandingan dalam sebuah projek.
"Mai Chek Mai adalah sebuah sitkom komedi yang dirakamkan secara langsung di hadapan penonton dan ia adalah cabaran buat pelakon baru ini selain dapat belajar daripada mereka yang lebih senior mengenai teknik dan persediaan sebelum ke set.
"Saya bagaimanapun berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka sepanjang penggambaran tersebut," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran sitkom itu di sini, Khamis.
Siri 13 episod itu bakal ditayangkan pada setiap Rabu bermula 4 Januari depan di saluran TV1.
Mai Chek Mai menggandingkan pelakon seperti Khatijah Tan, Ebby Yus, Ilya Buang dan Ramasundram sebagai peneraju utama selain Zarina Mohd Nor, Mira Amnas dan Livonia Ricky daripada program “Pilih Kasih 2”.
Dalam pada itu, Asri berkata, sitkom yang dirakamkan di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar, Kedah itu berkonsepkan 1Malaysia dan cetusan idea asal adalah daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Asri berkata, Rais menginginkan sebuah sitkom dengan dialek Kedah diterbitkan dengan memasukkan pelbagai elemen bersesuaian dengan konsep 1Malaysia.
"Manisnya mengenai sitkom ini adalah walaupun ia bertunjangkan dengan konsep 1Malaysia ia juga turut memaparkan kepelbagaian etnik dan dialek masyarakat Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, Asri berkata, Mai Chek Mai telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton di negeri Kedah sepanjang rakaman 13 episod di sana.
Ujarnya, pihak RTM juga dalam perancangan untuk menerbitkan musim kedua program itu tahun hadapan.


Wednesday, December 14, 2011

Thursday, December 8, 2011

Sitkom "MAI CHEK MAI"

Unit Drama TV, RTM 



mempersembahkan 


Sebuah Sitkom 13 Episod
"MAI CHEK MAI"


Penulis Skrip: Jefry Talib


Idea Asal/Konsep/Olahan Skrip, Lakon TV & Arahan: Asri Alias (fdam)


Penerbit: Mohd Asri Bin Haji Alias (mabha) 



Barisan Pemain Utama
 
Ebby Yus (Pelakon Komedi Terbaik ASA 2010) sebagai Bujang.
Masih Membujang hingga kini. Pemilik Homestay "Mai Chek Mai".
Berasal dari Negeri Sembilan (Loghat Nogori) yang membuka perniagaan idap desa
di Kedah. Mempunyai seorang anak angkat iaitu Mira.


Wan Suhairi Wan Senu sebagai AD Longgaq. 
Memainkan watak seorang pemuda yang tidak berpendidikan tinggi serta lurus bendul,
berasal dari Naka, Kuala Nerang (Loghat Siam Kedah). Merupakan pekerja am dan
budak suruhan di homestay (serba boleh la ni kiranya). Juga merupakan salah seorang
bakat baru yang sebelum ini diberi peluang dalam Drama Bersiri 15 Episod "MAKBUL".
Setelah diuji bakat dan meneliti tahap lakon komedi dan aktif berteater.
Diberi peluang buat julung kali sebagai salah seorang pelakon utama
dalam siri Sitkom "Mai Chek Mai" ini.



Mira Amnas (Peserta Akhir Pilih Kasih 2) sebagai Mira.
Juga merupakan bakat baru yang dikesan melalui program Pilih Kasih Musim ke 2
terbitan bersama Suhan Movies & Trading dan RTM.
Mira berasal dari Rantau Panjang, Kelantan (Loghat Klate).
Seorang graduan UUM yang baru bekerja di homestay Bujang yang
juga merupakan ayah angkatnya. Digilai oleh AD Longgaq. 



Livonia Ricky (Peserta Akhir Pilih Kasih 2) sebagai Fiona. 
Merupakan Juara program Pilih Kasih 2.
Gadis cantik lulusan USM dalam bidang komputer ini berasal
dari Bumi Kenyalang (Loghat Sarawak) yang bekerja
di Pusat Komuniti Jalur Lebar SKMM (Pusat Internet).


Zarina Mohd Nor (Raja Lawak 5) sebagai Suriani. 
Bakat baru dari program Raja Lawak terbitan Astro.
Su (Loghat Perlih) merupakan salah seorang pekerja di homestay Mai Chek Mai.
Tak sebulu dengan AD Longgaq dalam banyak perkara.
Merupakan anak kepada Yang Kalsom yang bekerja
sebagai house keeping di homestay.


 Ilya Buang (Bekas Anggota Asal Senario) sebagai Che Ya @ Tok Penghulu. 
Berasal dari Perak (Loghat Perak) tetapi telah lama menetap di Kedah
dan diangkat oleh orang kampung sebagai ketua kerana dedikasi dan prihatin
terhadap masalah-masalah masyarakat sekeliling.
Che Ya a.k.a Tok Penghulu mempunyai habit yang suka "mesyuarat"
dalam apa jua perkara tidak kira perkara kecil atau besar.




 Khatijah Tan (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) sebagai Yang Kalsom. 
Janda Meletup yang digilai oleh Bujang dan merupakan emak kepada Suriani.
Berasal dari Perak (Loghat Perak). Kematian Suami (bapa kepada Suriani) yang
berasal dari Perlis semasa menetap di Kedah.
Bekerja di homestay sebagai house keeping dan tukang bersih.



Ramasundram Rengan (Spanar Jaya) sebagai Rajoo. 
Merupakan pemilik Kedai Serbaneka dan mempunyai seorang anak dara
bernama Rani (Devika Raghakrishna). Sangat taksub dengan filem-filem tamil dan
sangat meminati Rajnikhan dan ada habit mengayakan cara lakonan Rajnikhan.



Wednesday, December 7, 2011

Rakaman Ep. 13 (SAMAN) "MAI CHEK MAI"

Episod 13 : (SAMAN)

Seorang anggota polis trafik datang untuk memberi taklimat tentang kesedaran kepada 
masyarakat kampung tentang saman dan pembayarannya. Bujang mendapati dia 
mempunyai saman yang banyak. Bujang takut jika didakwa ke mahkamah, 
lalu menyuruh Mira untuk memujuk Taufik supaya menyelesaikan samannya.

Pelakon Utama: Bujang (Ebby Yus), AD Longgaq (Wan Suhairi Wan Senu),
Suriani (Zarina RL5), Mira (Mira Amnas PK2), Rajoo (Ramasundram)

Pelakon Jemputan: Taufik (Z.Zamri Gerak Khas)














Rakaman Ep. 12 (PINJAM) "MAI CHEK MAI"

Episod 12 : (PINJAM)

Fiona telah bercadang untuk membeli sebuah kereta baru tetapi pinjamannya tidak lulus
kerana penggunaan kad kredit yang tertunggak. Fiona marah dengan bank tersebut
kerana dia telah melunaskan bayaran tertunggak itu.

Pelakon Utama: Bujang (Ebby Yus), AD Longgaq (Wan Suhairi Wan Senu),
Suriani (Zarina RL5), Mira (Mira Amnas PK2), Fiona (Livonia Ricky PK2),
Rajoo (Ramasundram).

Pelakon Jemputan: Jurujual Kereta (Lydia Ibtisam).